BAU, 13 Julai: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) berperanan mendampingi masyarakat Sarawak di bandar mahupun di luar bandar serta bertanggungjawab dalam menyampaikan informasi yang tepat dan sahih.
Pengarahnya, Samuel Simon berkata UKAS yang ditubuhkan pada 2018 di bawah Jabatan Premier Sarawak menghasilkan berita dalam empat bahasa yang dapat ditonton melalui media sosial bagi memudahkan setiap pelusuk lapisan masyarakat cakna akan perancangan mahupun inisiatif yang ditawarkan oleh Kerajaan Sarawak.
“Hal ini agar dapat menyampaikan berita yang efisien kepada pelbagai lapisan masyarakat di Sarawak.
“Bertepatan dengan tagline ‘Saluran Informasi Rakyat’, kita di UKAS terus menyampaikan informasi yang tepat dan sahih kepada rakyat agar kita terus kekal relevan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Program Hari Bersama Komuniti Daerah Bau 2024 anjuran UKAS di Kampung Kandis Baru, Bau di sini malam ini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu Miro Simoh, ADUN Batu Kitang Dato Lo Khere Chiang dan Ketua Kaum Kampung Kandis Bau Edward Nyiku.
Bercakap mengenai program tersebut, beliau berkata program sedemikian dilihat dapat menghebahkan peranan dan fungsi UKAS serta perkhidmatan dan produk yang relevan kepada rakyat.
Melalui berita UKAS menurutnya rakyat Sarawak dapat mengetahui lebih mendalam mengenai perancangan yang dilakukan Kerajaan Sarawak terutamanya inisiatif tenaga hidrogen dan pemerkasaan ekonomi hijau.
“Kerajaan Sarawak dibawah pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berusaha bersungguh-sungguh dalam merancakkan pelbagai inisiatif yang dapat dimanfaatkan rakyat Sarawak seperti penerokaan tenaga boleh diperbaharui serta memperkasakan ekonomi hijau.
“Perancangan yang digariskan Abang Johari itu sudah tentu dapat mengurangkan pelepasan karbon serta meningkatkan ekonomi setempat yang secara tidak langsung dapat mewujudkan banyak peluang pekerjaan,” katanya lagi.
Tambah Samuel, dengan pendapatan yang diraih hasil daripada aktiviti ekonomi itu kelak sudah tentunya dapat merancakkan pembangunan sama ada di bandar mahupun di luar bandar.
Secara tidak langsung, Sarawak dapat memposisikan diri untuk menjadi sebuah wilayah maju menjelang 2030 seiring dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030. – TVS