SARIKEI, 13 Julai: Kempen Pengurusan Anjing Terbiar di sini dirangka dengan spesifik bagi memperbaiki dan mempertingkatkan tahap kesihatan persekitaran dan komuniti setempat.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abd Wahab berkata kempen berkenaan merupakan usaha usaha sangat signifikan dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat termasuk menangani kacau ganggu secara menyeluruh selaras dengan aspirasi ‘Malaysia Madani.’
“Malah, kempen ini juga strategi kita melibatkan masyarakat melalui program kesedaran, ceramah, promosi dan aktiviti komuniti bertujuan menyebarkan maklumat tentang isu anjing terbiar serta peranan yang boleh disumbang oleh masyarakat,” katanya ketika menyempurnakan Kempen Pengurusan Anjing Terbiar peringkat bahagian Sarikei, hari ini.
Sehubungan itu beliau berharap, langkah yang dilaksanakan berupaya mengurangkan aduan kacau ganggu seterusnya meningkatkan tahap kesedaran pemunya anjing peliharaan serta penduduk sebagai komuniti yang bertanggungjawab.
Dalam pada itu, Yusuf menyatakan Sarawak mencatat 72 kematian daripada 79 kes sejak rabies diisytiharkan pada Julai 2017 sekali gus menjadikan wabak itu kekal sebagai ancaman kepada manusia.
“Daripada empat kes yang dikesan tahun ini, kesemua mangsa meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan rabies,” ujarnya.
Berdasarkan kenyataan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Veronica Lugah pada 11 Jun lalu katanya, satu kes mendapat jangkitan melalui gigitan anjing liar, manakala tiga lagi melalui haiwan peliharaan mereka sendiri.
“Sepanjang tahun lalu, sebanyak 38,833 aduan kacau ganggu berkaitan anjing terbiar dilaporkan dari semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Malaysia. Terdapat peningkatan dalam jumlah aduan berbanding tahun 2022 (35,990 aduan) dan tahun 2021 (27,878 aduan).
“Di Sarawak sahaja, sejak 2017 hingga Minggu Epid (ME) ke-22 tahun ini (26 Mei hingga 1 Jun), terdapat 56,023 kes gigitan anjing, 47,258 kes gigitan atau cakaran kucing dan 1,577 gigitan lain-lain haiwan dilaporkan,” katanya lagi.- TVS