LAWAS, 12 Julai: Program Pembangunan Profesional Berterusan Industri (iCPD) Siri Ketiga yang secara rasminya dilancarkan di Lawas, bertujuan untuk meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran pekerja tempatan serta memenuhi permintaan kemahiran industri di Sarawak.
Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) berkata, program itu dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
“Program ini menawarkan platform yang berharga kepada pelajar dan pekerja untuk mengakses kursus latihan, peluang pekerjaan dan kemungkinan rangkaian.
“Inisiatif ini juga adalah selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 untuk mencapai 30 peratus tenaga kerja mahir menjelang 2030,” kata RECODA menerusi kenyataan media hari ini.
Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Setiausaha Tetap MINTRED, Lo Sheau Sia.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap MEITD, Anielia Siam dan Pengarah Wilayah Agensi Kemajuan Wilayah Utara (NRDA), Datu Ubaidillah Abdul Latip. – TVS