KUCHING, 12 Julai: Sebanyak 2,453 rumah ibadat di seluruh Sarawak menerima manfaat daripada usaha Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) yang merupakan agen pemudah cara urusan agama-agama lain di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, angka memberangsangkan itu diperoleh sejak penubuhannya pada 2017.
Menurut beliau UNIFOR telah menjadi perantara dalam aspek yang melibatkan kebajikan, penambahbaikan infrastruktur serta lain-lain keperluan agama-agama lain di negeri ini.
Uggah pada masa yang sama memuji usaha mantan Pengarah UNIFOR, Datu Jack Aman Luat dalam menerajui UNIFOR dan berharap agar usaha beliau akan diteruskan oleh penggantinya, Dato Georgina Apphia Ngau.
“Anda telah berjaya untuk mengadakan pelbagai program yang mewujudkan harmoni, perpaduan serta wadah untuk membawa isu perpaduan ini ke peringkat yang lebih jauh ke hadapan,” katanya.
“Justeru, menerusi buah fikiran anda ini, kita bersetuju untuk menubuhkan satu majlis penasihat yang dapat dijadikan wadah oleh ketua-ketua agama bukan Islam untuk berdialog dan pada masa yang sama menjadi satu platform untuk kita berbincang bersama-sama rakan kita yang beragama Islam untuk memastikan keharmonian agama di Sarawak akan terus kekal sampai bila-bila,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di Kuching pada Khamis.
Pada majlis tersebut, Jack Aman Luat menyerahkan jawatannya sebagai Pengarah UNIFOR kepada Georgina Apphiu yang menggalas tanggungjawab sebagai pengarah yang baharu bermula Julai ini. -TVS