MIRI, 11 Julai: Pelajar yang menduduki Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) di sekolah menengah persendirian Cina di negeri ini layak melanjutkan pengajian ke peringkat universiti secara percuma menjelang 2026.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Sarawak sebelum ini telah mengiktiraf UEC sehubungan itu semua anak Sarawak tidak mengira aliran sekolah berpeluang untuk mendapatkan pendidikan percuma di institusi pendidikan milik penuh Kerajaan Sarawak.
“Apabila Sarawak mengiktiraf UEC, ini bermakna pelajar yang bersekolah di sekolah persendirian Cina juga turut mendapat peluang yang sama,” kata beliau ketika berucap merasmikan Blok Pentadbiran Baharu Sekolah Menengah Pei Min di sini, pada Khamis.
Justeru itu Abang Johari berkata, para ibu bapa tidak perlu membayar yuran pengajian kerana ia nya ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak.
“Itu sudah menjadi tanggungjawab saya dan rakan-rakan Kabinet Sarawak mencari pendapatan bagi tujuan berkenaan.
“Alhamdulilah, setakat ini hasil pendapatan Sarawak pada tahap yang sangat memberansangkan dan akan disalurkan kepada rakyat bagi tujuan pembangunan dan pendidikan,” tambah beliau.
Mengenai permintaan bantuan kewangan bagi membina trek dan bangunan baharu di Sekolah Menengah Pei Min, Abang Johari setuju untuk memberi peruntukan sebanyak RM2.5 juta dan Lembaga Pengurusan Persatuan Sekolah Menengah Swasta Cina Bersatu Sarawak dan alumni sekolah menyediakan RM2.5 juta lagi bagi menjadikan jumlah RM5 juta dapat digunakan bagi merealisasikan kemudahan tersebut.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang. -TVS