KUCHING, 11 Julai: Seramai 10,000 pengunjung dijangka membanjiri Pesta Kaul 2024 tahun ini dari 15 hingga 21 Julai 2024.
Pengerusi Jawatankuasa Induk Kaul Mukah, Abdul Yakub Arbi berkata penganjuran kali ini dengan kerjasama Yayasan Perpaduan Sarawak (YPS) sebagai salah satu rakan strategik bagi memeriahkan lagi sambutan pada tahun ini.
Menurutnya pesta tahun ini menampilkan kelainan iaitu bakal mempromosikan keunikan Kaul serta kaum Melanau.
Abdul Yakub menambah pihaknya bersama YPS bagi mempelbagaikan aktiviti promosi dengan memanfaatkan platform media sosial.
“Antara inisiatif-inisiatif yang telah dilakukan oleh pihak Yayasan Perpaduan Sarawak adalah mereka telah membuat beberapa siri dokumentari pendek mengenai keunikan tradisi masyarakat kaum Melanau dan dokumentari ini akan ditayangkan di semua platform media sosial YPS.
“Setakat ini, saya dimaklumkan oleh YPS bahawa mereka telah menerima pandangan dan perkongsian yang sangat luar biasa, khususnya pada kalangan golongan muda. Saya amat berbesar hati dan ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak YPS atas inisiatif tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di di Hotel Habour View di Kuching pada Khamis.
Untuk rekod, Pesta Kaul telah dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan sebagai acara tahunan yang diadakan di Mukah.
Kaul secara tradisinya diraikan oleh kaum Melanau pada bulan Pengejin iaitu pada bulan Mac atau April setiap tahun. -TVS