KUCHING, 11 Julai: Pemegang taruh disaran untuk berkolaboratif dalam membentuk serta memangkin ekosistem pendidikan yang berkesan di negeri ini.
Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, bagi membentuk ekosistem yang ideal, pemegang taruh yang terdiri daripada para pendidik, ibu bapa, pelajar serta kerajaan perlu sehati sejiwa dalam mencipta dunia pendidikan yang inklusif, kohesif dan produktif.
“Kita memerlukan empati untuk memahami cabaran dan keperluan rakan-rakan kita yang merupakan pemegang taruh dalam melengkapkan ekosistem pendidikan kita ini, terutama dari segi keperluan sekolah seperti infrastrukturnya, keperluan untuk menaiktaraf kedaifan sekolah-sekolah, selain memahami kita perasaan serta cabaran yang dihadapi oleh para pelajar, guru dan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Peluncuran Sekolah Pengajar (Teaching School) Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPG) Kampus Batu Lintang di Sekolah Kebangsaan Matang, Padawan di sini pada Khamis.
Seramai 100 pelajar IPG Kampus Batu Lintang menyertai program Sekolah Pengajar yang mendedahkan serta menerapkan kemahiran utama seperti kemahiran inovasi dan kreativiti, kemahiran teknologi dan kemahiran interpersonal di kalangan para pelajar serta warga pendidik.
Selain Sekolah Kebangsaan (SK) Matang, Padawan, sekolah-sekolah lain yang terlibat dalam projek rintis program Sekolah Pengajar ini termasuklah SK Semariang, SK Catholic English dan SK RPR Batu Kawa. -TVS