MIRI, 11 Julai: Kerajaan Sarawak berhasrat untuk membantu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina SJK (C) Chiaw Nan di sini membina bangunan tambahan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Dr Ripin Lamat akan dipertanggungjawabkan untuk merealisasikan matlamat berkenaan.
“Kita (Kerajaan Sarawak) dan pihak Jawatankuasa Lembaga Sekolah SJKC Chiaw Nan perlu tolong-menolong kerana aspek pendidikan anak-anak sangat penting.
“Kalau kita mahu memajukan Sarawak, anak-anak kita mesti diberikan pendidikan yang betul,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Perasmian SJK (C) Chiaw Nan hari ini.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang.
Dalam pada itu Abang Johari meyakini Sarawak memiliki khazanah dan sumber yang boleh ditambah nilai dan dibangunkan untuk kepentingan negara.
“Kita mesti memberi menekankan subjek penting (Kimia dan Fizik) dan pendidikan Sains, Teknologi, Matematik dan Kejuruteraan (STEM) serta melatih anak-anak dengan ilmu terkini berkaitan ekonomi baharu seperti tenaga hidrogen,” tambah beliau.
Untuk rekod, projek membangunkan SJK (C) Chiaw Nan melibatkan kos RM8.8 juta dan daripada jumlah keseluruhan itu RM5.8 juta merupakan dana yang diberikan oleh Kerajaan Sarawak.
Setakat ini, sebanyak 120 orang murid tahun satu hingga tahun tiga bersekolah di sekolah tersebut dan 75 peratus merupakan murid Bumiputera. -TVS
bagi menyediakan kemudahan dan keselesaan kepada guru-guru dan murid-murid di sekolah berkenaan.