LIMBANG, 11 Julai: Ratusan kakitangan kerajaan yang berada di bangunan Limbang Plaza di sini bergegas keluar sebaik merasai gegaran akibat gempa bumi berukuran 6.6 pada skala Richter melanda Mindanao, Filipina hari ini.
Gegaran lebih kurang seminit itu berlaku sekitar jam 10 pagi kuat dirasai kakitangan kerajaan di tingkat lapan yang menempatkan pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR), tingkat tujuh (Jabatan tanah dan Survei), tingkat enam (Pejabat Daerah dan Residen) sehingga tingkat lima dan empat.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini, gempa berlaku pada kedudukan 154 kilometer (km) Tenggara dari Isabela City, Filipina dengan kedalaman 632 km.
Berikutan kejadian itu, beberapa gegaran turut dirasai di beberapa kawasan di Sabah antaranya sekitar Kota Kinabalu; Kota Belud; Putatan dan beberapa kawasan lain termasuk disebelah utara Sarawak.
Bagaimanapun, gempa itu tidak mencetuskan ancaman tsunami kepada Malaysia. -TVS.