DORTMUND, Jerman, 11 Julai: England mara ke final Euro 2024 selepas kemenangan 2-1 ke atas Belanda pada Rabu, hasil jaringan lewat pemain gantian Ollie Watkins, lapor Agensi Berita Jerman dpa.
Xavi Simons menjaringkan gol pertama untuk Belanda pada minit ketujuh, tetapi kapten England Harry Kane, berjaya menyamakan kedudukan melalui penalti pada minit ke-18.
Ketika perlawanan di Dortmund hampir berakhir dan kelihatan akan berlanjutan ke masa tambahan, pemain gantian, Watkins, menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan, memastikan England mara ke final menentang Sepanyol.
Ini adalah kali kedua berturut-turut England mara ke final Kejohanan Eropah selepas tewas kepada Itali melalui penalti di Euro 2020.
England bergelut untuk menunjukkan prestasi terbaik dalam kejohanan di Jerman, dan kemenangan ini memberi mereka peluang untuk memenangi gelaran Eropah pertama.
Pada Ahad, England akan berdepan cabaran utama Sepanyol, yang dianggap sebagai pasukan terbaik di Euro 2024 dan calon utama untuk membawa pulang trofi.
Pengurus England, Gareth Southgate, menyifatkan pencapaian mara ke final Euro 2024 sebagai yang terbesar dalam tempoh beliau mengendalikan pasukan itu.
Southgate memuji semangat dan kesungguhan pasukannya, terutamanya pemain gantian yang memberi impak besar dalam perlawanan ini.
“Kami bermain dengan baik sepanjang perlawanan walaupun ia adalah perlawanan yang rumit,” kata Southgate kepada ITV. -TVS