KUALA LUMPUR, 11 Julai: Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan terpaksa menanggung kerugian berjumlah RM185 juta berikutan stok vaksin COVID-19 yang telah luput.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kementerian telah melupuskan lebih 9.15 juta dos vaksin yang luput di fasiliti KKM dan gudang simpanan vaksin COVID-19 setakat 11 Jun 2024.
“Sebanyak 10.8 peratus dos luput berbanding dos yang diterima oleh kerajaan. Ini (kerugian) juga adalah termasuk hal terkait dengan logistik membabitkan apek simpanan, penstoran dan sebagainya,” katanya pada Waktu – Waktu Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di sini hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Jalaluddin Alias (Barisan Nasional – Jelebu) yang meminta Menteri Kesihatan menyatakan jumlah sebenar vaksin COVID-19 yang terpaksa dilupuskan kerana telah tamat tempoh dan berapa anggaran kerugian yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan.
Sementara itu Dzulkefly memaklumkan kerajaan kini telah menetapkan amalan terbaik dan penanda aras tertentu dalam perolehan vaksin setelah mendepani pandemik.
“Menteri terdahulu tidak mempunyai prosedur operasi standard (SOP), amalan terbaik dan penanda aras tertentu kerana ini adalah pandemik kali pertama.
“Saya memahami kalau ada lebihan kerana persaingan untuk mendapatkan vaksin adalah sengit ketika itu,” katanya.
Beliau turut memaklumkan kerajaan telah menerima sebanyak 84.5 juta dos vaksin COVID-19 pelbagai jenama daripada sumber perolehan kerajaan dan sumbangan luar. -TVS