SIBU, 10 Julai: Seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU) rentung dalam kebakaran membabitkan tiga buah rumah di Kampung Bahagia Jaya, Jalan Teku di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa yang rentung dikenali Kong Kim Ngin,52.
Komander Operasi, PBK II Terrance Jimbun berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 8.04 pagi dengan menggerakkan 18 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dan BBP Sibu Sentral ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan tiga buah rumah jenis struktur tidak kekal terbakar keseluruhan.
“Terdapat seorang mangsa rentung dijumpai berhampiran dengan pintu bilik di rumah ketiga yang terbakar pada jam 9.27 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, anggota BBP Sungai Merah bertindak memadamkan kebakaran dengan mengunakan dua aliran 200 kaki dan empat nozel air dari pili bomba.
“Anggota BBP Sibu Sentral menggunakan dua aliran dua nozel membantu memadam kebakaran.
“Setelah memastikan tiada lagi punca api dan keadaan selamat, pihak bomba bertolak balik ke balai,” ujarnya.
Kejadian itu mengakibatkan 26 penghuni hilang tempat tinggal.- TVS