KOTA SAMARAHAN 10 Julai: Penawaran pelbagai program pengajian profesional yang dilaksanakan di kampus-kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) termasuk kampus cawangan Sarawak menjadi antara cara universiti itu memainkan peranannya melahirkan lebih ramai golongan profesional Bumiputera sekali gus mencapai sasaran 51 peratus golongan profesional dan teknokrat Bumiputera.
Timbalan Rektor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Univerisiti Teknologi Mara (UiTM) Profesor Madya Dr Mohammad Isa Mohamadin berkata, selaras dengan peranan itu, Kampus UiTM Cawangan Sarawak menjadi antara kampus universiti itu yang menawarkan kursus akademik terbanyak merangkumi pelbagai bidang profesional berbanding kampus cawangan lain.
“Kita ada pelbagai aktiviti-aktiviti luaran yang kita anjurkan dalam konteks keusahawan di samping program-program yang melibatkan para usahawan dari pihak luar yang datang ke kampus untuk berkongsi pengalaman dan sebagainya dengan para pelajar kita.
“Di samping itu juga kita sebenarnya banyak program keusahawanan, UiTM ini sebenarnya merupakan satu universiti yang mewajibkan subjek keusahawan kepada pelajarnya,” katanya.
Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis penyampaian Watikah Pelantikan Program UiTM Global Ambassador (UGLAM) Cawangan Sarawak di sini pada Selasa.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu UiTM memainkan peranan penting bagi membantu kerajaan merealisasikan sasaran melahirkan 51 peratus golongan profesional dan teknokrat dalam kalangan Bumiputera.
Menjelas lanjut, katanya, UGLAM berupaya menjadi medium untuk menyediakan peluang serta ruang untuk pelajar institusi itu berinteraksi dengan pelbagai cabang budaya, memperluaskan perspektif seterusnya membina jaringan hubungan dengan masyarakat global.
Jelasnya, program berkenaan juga menyediakan dan mendidik pelajar-pelajar terpilih untuk menjadi pemimpin masa hadapan yang memiliki kemampuan untuk mengemudi serta memberikan sumbangan kepada masyarakat yang pelbagai dan kompleks
“Melalui pelbagai aktiviti bertaraf antarabangsa dan pertukaran budaya, para pelajar UiTM Cawangan Sarawak akan beroleh pengalaman yang bernilai untuk mempersiapsiagakan mereka menjadi individu yang berfikiran global,” ujarnya.
Seramai 25 pelajar cemerlang dari 10 gugusan akademik di UiTM cawangan Sarawak dipilih untuk mengikuti program berkenaan. Pemilihan kesemua pelajar terbabit dilakukan dengan prosedur ketat bagi memastikan setiap pelajar yang terpilih menepati kriteria diperlukan untuk menjadi Duta Muda bagi universti tersebut. -TVS