SIBU, 10 Julai: Peruntukan berjumlah RM1.92 bilion telah diluluskan bagi melaksanakan projek pembangunan di Bahagian Sibu, kata Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan, Datuk Aidel Lariwoo.
Menurutnya, daripada jumlah berkenaan ia merangkumi sebanyak RM317.4 juta dibelanjakan untuk semua projek pembangunan yang sedang dilaksanakan di sini.
Manakala kata Aidel, sejumlah RM1.603 bilion pula meliputi projek yang baharu diluluskan kerajaan.
“Jadi jumlahnya jika dicampur adalah lebih kurang RM1.92 bilion nilai projek yang sedang dan akan dilaksanakan oleh JKR bahagian Sibu menjelang penghujung Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dan disambung ke RMK13 pada tahun 2026 dan seterusnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mendengar taklimat projek yang disampaikan oleh Ketua JKR Sibu, Chieng Siong Ming di bilik mesyuarat JKR Sibu, Tingkat 15 Bangunan Wisma Sanyan, pada Rabu.
Tambahnya, setakat ini tiada projek yang dikategorikan sebagai ‘projek sakit’ dan kesemuanya dilaksanakan dengan lancar walaupun ada di antaranya lambat sedikit dari jadual namun ianya masih boleh diatasi.
Menyentuh tentang cadangan projek Jalan Teku Pasai-Siong menghubungkan ke Kemuyang, Aidel memberitahu, projek tersebut akan dilaksanakan di bawah projek rakyat.
“Jalan tersebut yang bermula dari bulatan Universiti Teknologi Sarawak (UTS) ke Pasai-Siong akan menjadi dua laluan ke Kemuyang.
“Dan kemudiannya jalan dari Taman Desa Kemuyang ke Jalan Sibu-Bintulu akan dinaik taraf ke tahap yang lebih tinggi untuk lebih kemudahan.
“Projek tersebut mencabar kerana melibatkan utiliti, elektrik dan kabel telekomunikasi,” ujar beliau.
Manakala bagi projek jalan raya berkembar Sibu Jaya ke Jalan Kong Yit Khim, Aidel memberitahu ia dijangka siap pada Disember ini.
Justeru beliau menggesa pihak JKR Sibu agar sentiasa memantau perlaksanaannya supaya ia dapat disiapkan sebelum perayaan Krismas tahun ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh serta yang lain.-TVS