KUALA LUMPUR, 10 Julai: Denda sehingga RM1 juta boleh dikenakan terhadap individu yang melakukan pelanggaran data peribadi susulan pindaan undang – undang berkaitan.
Menteri Digital, Gobind Sigh Deo berkata, sebelum ini hukuman yang dikenakan ialah denda RM300,000 dan penjara tidak melebihi dua tahun.
Jelas beliau, pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Data Peribadi yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini menunjukkan kerajaan memandang serius keperluan untuk melindungi data susulan perkembangan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI).
“Pindaan ini berniat untuk memastikan tidak ada data yang digunakan tanpa persetujuan pemilik serta (kerajaan) mahu mengelakkan berlaku penyalahgunaan data menerusi penggunaan platform digital,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Sementara itu, Gobind turut mendedahkan pelanggaran data peribadi menunjukkan trend meningkat dengan ketara sebanyak 41 peratus pada tahun ini berbanding 2023.
Jelas beliau, bagi Oktober 2023 hingga Mac 2024, jumlah aduan yang diterima meningkat sebanyak 5.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Secara keseluruhan sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 322 aduan penyalahgunaan dan pelanggan data peribadi yang diterima Pejabat Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi (PDP),” katanya. -TVS.