KUALA LUMPUR, 10 Julai: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meluahkan rasa kecewa dengan keputusan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengekalkan enam kerusi Ahli Parlimen mereka yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tindakan itu bercanggah dengan Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan.
Dakwa beliau, Johari telah bertindak di luar bidang kuasa beliau dan membuat tafsiran songsang.
“Keputusan Speaker dengan memberikan alasan-alasan dangkal menunjukkan Speaker telah mencemar Perlembagaan Persekutuan sedangkan beliau telah berikrar untuk menjunjung dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Negara.
“Peruntukan Perkara 49A menyatakan dengan jelas bahawa kerusi ahli Dewan Rakyat hendaklah menjadi kosong jika dia tidak lagi menjadi anggota parti politik tersebut setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik tersebut,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Semalam Johari menolak permohonan parti itu menerusi surat kepada Ketua Whip Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee.
Sementara itu Muhyiddin berkata, mereka akan melantik peguam untuk mengambil tindakan sewajarnya.
Sebelum ini parti itu memecat Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Datuk Dr Suhaili Abdul (Labuan), Abdul Latiff Abdul Rahman (Kuala Krai), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Zahari Kechik (Jeli) dan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) selepas menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri. -TVS.