KUALA LUMPUR, 10 Julai: Dewan Rakyat dimaklumkan produk songket yang dihasilkan oleh usahawan bimbingan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Kampung Gedong, Simunjan, Sarawak berjaya menembusi pasaran global.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, usahawan berkenaan Ramtiniwaiti Ramlee telah memasarkan produknya di United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Sepanyol, India dan China.
Selain itu jelas Fahmi tenunan yang dihasilkan turut mendapat permintaan di Indonesia serta negara Asia Tenggara yang lain.
“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga telah menerbangkan Ramtiniwaiti dan produk tenunan songket Maskota yang dihasilkannya ke Persidangan Mudah Alih Dunia (Mobile World Congress) di Barcelona, Sepanyol pada awal tahun ini.
“(Ini merupakan) bukti kejayaan NADI sebagai pemangkin dalam meningkatkan sosio-ekonomi anak-anak Sarawak,” katanya pada Waktu Pertanyaan – Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di sini hari ini.
Fahmi menjawab soalan Dr Richard Rapu (Gabungan Parti Sarawak -Betong) yang meminta beliau menyatakan penilaian terkini tentang keberkesanan kursus keusahawanan digital di NADI Sarawak serta langkah-langkah yang diambil untuk memastikan aksesibiliti dan kualiti kursus dapat ditingkatkan.
Sementara itu Fahmi menjelaskan, NADI telah melatih lebih 3,850 usahawan di Sarawak.
Latihan itu kata beliau membabitkan aspek pemasaran dalam talian seperti Shopee dan platform lain.
“Menerusi latihan pemasaran ini, usahawan-usahawan tersebut berjaya merekodkan hasil jualan lebih RM2.56 juta bagi tempoh Jun 2021 hingga Disember 2023,” katanya.
Tambah Fahmi, NADI juga telah menjalankan pelbagai latihan keusahawanan sebagai salah satu langkah untuk membantu memperkasakan sosio-ekonomi komuniti setempat.
“Antara latihan dijalankan adalah seperti pembangunan laman sesawang, pemasaran melalui media sosial, pembungkusan dan sebagainya. Latihan-latihan ini melibatkan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), MYNIC Berhad, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional, Shopee Mobile Malaysia Sdn. Bhd. dan AEON Co. (M) Berhad,” katanya. -TVS