Kuala Lumpur, 10 Julai: Kerajaan memutuskan untuk memperluaskan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kepada 14 jenis pengangkutan barangan berbanding sembilan sebelum ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keputusan itu dibuat selepas sesi libat urus merentasi kementerian dan pemain industri diadakan.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan jenis pengangkutan darat awam dan barangan yang terus diberikan subsidi pada kadar RM2.15 seliter meliputi 33 jenis pengangkutan.
“Dengan perluasan mekanisme ini, penggunaan SKDS melalui fleet card di bawah kawal selia Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) meliputi sektor pengangkutan awam dengan 10 jenis pengangkutan seperti bas sekolah, bas ekspres, bas henti-henti, teksi, van jenazah, ambulans dan bomba,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Hamzah Zainudin (Perikatan Nasional – Larut) yang ingin tahu mekanisme pelaksanaan dasar peneyasaran minyak di bawah SKDS bagi membolehkan orang ramai, peniaga kecil dan penjaja menikmati subsidi bersasar.
Hamzah juga ingin tahu jaminan kerajaan bahawa penyasaran minyak berkenaan tidak memberi kesan kepada rantaian ekonomi keseluruhan.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, turut tersenarai ialah sektor pengangkutan barangan dengan 23 jenis pengangkutan antaranya penggerak utama (prime mover), pelbagai lori rigid kargo am, hasil pertanian, air, tepung, kandang haiwan, perkhidmatan bergerak dan sampah, bas atau van perkhidmatan bergerak, serta lori, bas, van katering makanan.
“Pertambahan ini dibuat untuk memastikan semua jenis pengangkutan yang mempunyai kaitan secara langsung dengan rantaian bekalan barangan dan perkhidmatan keperluan harian penting pengguna terus mendapat manfaat subsidi.
“Ini sekali gus untuk menangani impak pelaksanaan pendekatan subsidi bersasar diesel kepada rakyat khususnya golongan B40 dan M40,” katanya.
Sementara itu beliau memaklumkan, kementerian sedia menimbangkan kes-kes khas bagi sektor pengangkutan tertentu dalam pelaksanaan SKDS.
Jelas beliau antara yang dipertimbangkan adalah lori pengangkut Roro di kawasan-kawasan petani dan pekebun kecil kelapa sawit.
“Cadangan telah dikemukakan kepada Kementerian Perladangan dan Komoditi supaya mereka membuat engagement dengan pemegang taruh masing-masing, begitu juga Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, dan akan bawa cadangan (mereka),” katanya. -TVS.