KUCHING, 9 Julai : Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Sri Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat daripada Senator dan Mantan Senator Sarawak di Astana Negeri, pada Selasa.
Menurut Senator Dato’ Ahmad Dato’ Sri Ibrahim, kunjungan itu bertujuan bagi mendapatkan serta berkongsi pandangan daripada Tun Dr Wan Junaidi yang juga merupakan mantan Yang Di-Pertua Dewan Negara.
“Tujuan kunjungan ini adalah untuk Tun Dr Wan Junaidi berkongsi pandangan dan terus memberi sokongan sekiranya diperlukan agar beliau dapat membimbing kami untuk mengekalkan kepentingan di Sarawak.
“Setakat ini beliau telah memberikan sedikit gambaran tentang apa yang beliau harapkan untuk kemajuan Dewan Negara pada masa akan datang,” jelasnya semasa ditemui pemberita usai kunjungan hormat berkenaan.
Delegasi kunjungan tersebut turut dihadiri oleh Senator Susan Chemerai Anding, Senator Michael Mujah Lihan, Senator Robert Lau Hui Yew, Senator Pele Peter Tinggom dan Senator Rita Sarimah Patrick Insol, serta mantan Senator Dato Dr Zaiedi bin Suhaili dan Datuk Paul Igai. – TVS