MIRI, 9 Julai: Tentera Darat Malaysia (TDM) memuji dan menzahirkan penghargaan kepada semangat bekerjasama antara 15 agnesi dalam Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim yang ditemui pada 6 Julai lepas.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan menegaskan kejayaan operasi ini merupakan bukti kepada keteguhan semangat setiakawan yang dimiliki kesemua peserta operasi.
Beliau turut menyampaikan penghargaan khas kepada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Pasukan Polis Diraja Brunei atas sokongan mereka dalam operasi ini.
Seterusnya beliau menyampaikan sijil penghargaan kepada para wakil agensi terlibat termasuk, Pejabat Residen Limbang, Batalion Ke-2 Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), 11 Skuadron Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), K9 Gurkha Reserve Unit (GRU), Markas Wilayah Udara 2 (MAWILUD 2), No 5 Skuadron Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang, Batalion 12 Pasukan Gerakan Am (PGA), Unit K9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu, Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM, JUPEM, Pasukan Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wilayah Sarawak, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sarawak, Rejimen 881 Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD), dan Tim SAR Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan.
Dalam pada itu, Muhammad Hafizuddeain menyakini komitmen TDM merupakan menjaga para anggota termasuk melindungi serta memberi perhatian kepada ahli keluarga mereka.
“Keluarga Pbt Syafiq, yang telah diterbangkan khas dari Kedah, turut hadir dalam majlis tersebut.
“Kami mengambil masa untuk berbual mesra dengan mereka serta mendengar pengalaman kami sepanjang 19 hari operasi SAR yang mencabar itu.
“Ini mengingatkan kita bahawa di sebalik pakaian seragam dan pangkat, setiap anggota tentera kita adalah anak, suami, atau bapa kepada seseorang. Kita akan terus memastikan kebajikan mereka sentiasa terjaga.
“Saya dapat lihat kelegaan di wajah keluarga Pbt Syafiq,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Muhammad Hafizuddeain turut mengumumkan penubuhan Lembaga Siasatan untuk mengkaji insiden ini dan mencadangkan penambahbaikan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengelakkan kejadian serupa pada masa hadapan.
Terdahulu, operasi SAR selama 19 hari itu berjaya menemui Prebet Muhammad Syafiq, yang hilang ketika menjalankan tugas Pengiring Keselamatan untuk Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) di sempadan Malaysia-Brunei.
Beliau ditemui selamat pada 6 Julai dalam keadaan lemah akibat kelaparan dan dehidrasi. -TVS