KUCHING, 9 Julai: Kerajaan Sarawak kini menanti kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menambah baik Hospital Bintulu untuk dijadikan sebagai Pusat Jantung Satelit bagi menyediakan perkhidmatan itu kepada penduduk di wilayah tengah Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata kerajaan negeri telah membuat permohonan berkaitan projek terbabit kepada Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
“Pada persidangan Dewan Undangan (DUN) Sarawak, saya tekankan mengenai keperluan mendesak untuk menambah baik fasiliti dan saya telah mengutuskan surat permohonan kepada Dr Dzulkefly jika kita boleh membelanjakan beberapa juta untuk menaik taraf kemudahan di Hospital Bintulu.
“Jika ia diluluskan oleh beliau, maka kita jadikan Hospital itu sebagai pusat jantung satelit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Perasmian Asia-Pasifik Kesihatan Awam (APCPH) Ke-8 di sini hari ini.
Turut hadir sama Pengarah Jabatan Kesihatan Sarawak Dr Veronica Lugah.
Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak juga berkata penambahbaikan hospital itu kelak akan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak melalui Yayasan Jantung Sarawak daripada segi pembelian peralatan yang diperlukan untuk menaik taraf Hospital Bintulu berkenaan membolehkan ia menawarkan perkhidmatan penjagaan jantung.
Ujarnya lagi, setelah projek menaik taraf itu siap kelak, tenaga pakar dari Pusat Jantung Sarawak akan dihantar untuk berkhidmat ke sana.
Selain itu, mesin Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) yang ada di Hospital Sibu kini sedang dinaik taraf dan diperbaharui di Singapura untuk digunakan bagi tujuan penyediaan perkhidmatan jantung.
“Jadi, kami sedang menunggu Hospital Sibu untuk menyiapkan menaik taraf bilik MRI supaya mesin MRI yang telah diperbaharui itu kelak dapat digunakan untuk merawat pesakit yang memerlukan,” tambahnya lagi.
Dua tahun lalu, Kerajaan Sarawak telah menyatakan hasrat untuk menubuhkan pusat jantung satelit bagi menyediakan akses penjagaan kesihatan khususnya di bandar-bandar kecil di luar Kuching.
Selain Bintulu dan Sibu, Miri turut menjadi tumpuan Kerajaan Sarawak untuk menubuhkan fasiliti itu di kawasan utara Sarawak bagi mempercepatkan proses rawatan kritikal tanpa perlu melakukan perjalanan ke Kuching. – TVS