KUALA LUMPUR, 9 Julai: Bank Rakyat dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menjalin kerjasama strategik menerusi Program Rumah Mesra Rakyat, sebuah inisiatif yang bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.
Program berkenaan menawarkan peluang kepada golongan yang berpendapatan isi rumah di bawah RM5,000 yang tidak mempunyai rumah atau tinggal di rumah usang tetapi mempunyai tanah untuk membina rumah yang lebih sempurna dan selesa.
Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata program itu menyasarkan golongan berpendapatan isi rumah di bawah RM5, 000.
“Menerusi program ini, SPNB menawarkan harga pembinaan rumah bermula dari RM75,000.
“Pelanggan akan menerima subsidi kerajaan sebanyak RM20,000 dan baki RM55,000 boleh diperoleh melalui pembiayaan Bank Rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah kenyataan itu lagi, Bank Rakyat sentiasa berusaha meningkatkan pengalaman pelanggan melalui inovasi produk dan perkhidmatan kewangan yang terbaik.
Bank Rakyat menawarkan margin pembiayaan sehingga 95 peratus dengan kadar serendah 4.45 peratus setahun untuk tempoh pembiayaan sehingga 35 tahun bagi Pembiayaan Perumahan-i.
Bagi Pembiayaan Peribadi-i, kadar pembiayaan serendah 2.89 peratus setahun dengan tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun.
Bank Rakyat juga menyediakan tiga kaedah bayaran pembiayaan yang fleksibel iaitu Potongan Gaji melalui Biro Angkasa (BPA), Potongan Gaji Majikan (PGM), dan Pindahan gaji ke Bank Rakyat.
“Inisiatif ini bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan golongan berpendapatan rendah, malah mengembangkan pilihan kewangan mereka serta memudahkan pemilikan kediaman yang merupakan aspek keselamatan sosial, ” ujar beliau.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dato’ Dr. Mohammad Hanis Osman menyatakan bahawa inisiatif ini membuktikan komitmen Bank Rakyat dalam menyediakan penyelesaian kewangan merentasi segmen dan usaha yang memanfaatkan semua lapisan masyarakat.
“Bank Rakyat mengalu-alukan golongan berpendapatan rendah untuk memohon Program Rumah Mesra Rakyat ini sebagai peluang merealisasikan impian memiliki kediaman sendiri,” jelasnya.
Pelanggan yang berminat untuk memohon Program Rumah Mesra Rakyat ini boleh melayari laman sesawang www.bankrakyat.com.my atau menghubungi Pusat Panggilan Bank Rakyat di talian 1-300-80-5454 serta mengunjungi mana-mana cawangan Bank Rakyat yang berhampiran untuk maklumat lanjut. – TVS