KUCHING, 9 Julai: Kerajaan Sarawak dan PETRONAS meraikan pencapaian, penglibatan dan sumbangan vendor tempatan terhadap kemajuan industri minyak dan gas di negeri ini.
Seramai 47 vendor tempatan menerima penganugerahan daripada Naib Presiden Kumpulan Perolehan, PETRONAS, Rashidah Alias, di Majlis Penghargaan Kerjasama Vendor Sarawak dalam Industri Peralatan dan Perkhidmatan Minyak dan Gas (OGSE) 2024 di Kuching baru-baru ini.
Majlis tersebut turut disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel dan Naib Presiden Kanan PETRONAS Datuk Ir. Bacho Pilong.

Dalam ucapan alu-aluan beliau, Bacho meluahkan rasa bangga terhadap ketahanan dan daya saing yang ditunjukkan oleh vendor Sarawak.
Menurut beliau, PETRONAS berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak dan kontraktor pengaturan petroleum (PAC) atas sokongan yang tidak berbelah bagi dalam membantu vendor tempatan, terutamanya dalam mengharungi cabaran semasa.
“Industri tenaga kekal terdedah kepada pelbagai kuasa pasaran, menjadikannya penting bagi pemain industri untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran yang tidak menentu, perubahan pesat yang sangat mencabar, di mana vendor Sarawak telah menunjukkan daya tahan yang luar biasa sambil memperkukuhkan integriti melalui tingkah laku yang jujur dalam persekitaran kompleks ini selain mengekalkan nilai dan pertumbuhan,” katanya.
Di samping itu, beliau juga menggalakkan kerjasama antara semua pihak bagi memupuk ekosistem OGSE yang memberangsangkan.
“Sejak 50 tahun yang lalu, PETRONAS telah menjalinkan hubungan kerjasama yang kukuh dengan Kerajaan Sarawak, PAC dan vendor tempatan OGSE untuk memperkukuhkan ekosistem minyak dan gas di Sarawak.
“Kami komited untuk terus menjadi rakan strategik kepada Sarawak dalam usaha memupuk hubungan saling mempercayai demi manfaat bersama, dan saya percaya, usaha kerjasama kami adalah penting dalam memacu pertumbuhan dan daya ketahanan sektor OGSE Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu, penyertaan vendor Sarawak dalam industri OGSE telah menjana nilai pekerjaan lebih kurang RM22 bilion sejak Februari tahun ini.
Menurut Bacho, ini kerana berlakunya trend peningkatan dalam penganugerahan pekerjaan sejak 2020.
“Sejak 2020, kita telah melihat peningkatan dalam pekerjaan yang diberikan kepada vendor Sarawak dan kita optimis untuk mencapai sasaran kita pada 2024.
“Setakat Februari tahun ini, jumlah nilai pekerjaan yang diperuntukkan kepada vendor Sarawak adalah sebanyak RM37 bilion, di mana RM22 bilion diberikan kepada vendor yang berada di dalam negeri ini sahaja,” katanya.
Sehubungan itu, beliau turut menekankan komitmen PETRONAS untuk mengukuhkan ekosistem OGSE dengan memperkenalkan beberapa inisiatif termasuk Program Pembiayaan Vendor (VFP) berjumlah RM330 juta yang akan memanfaatkan kira-kira 32 vendor seterusnya dapat menyumbang ke arah membina vendor yang mantap.
Bukan itu sahaja, Program ‘Road to Bursa’ (R2B) turut menyokong dan memudahkan vendor tempatan dalam menerima pakai piawaian tadbir urus korporat yang melayakkan mereka untuk penyenaraian Bursa Malaysia.
“Daripada 204 syarikat yang telah menunjukkan minat dalam Program R2B, 21 adalah vendor Sarawak, ini mencerminkan semangat dan potensi rantau ini. Kini, 35 vendor sedang menjalani bimbingan komprehensif dengan 5 daripadanya adalah dari Sarawak.
“Ini membuktikan komitmen PETRONAS untuk memupuk bakat tempatan dan memastikan vendor Sarawak mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk berjaya di peringkat nasional,” katanya lagi.
Tambah beliau, kejayaan vendor tempatan menjadi bukti usaha kerjasama dan inisiatif strategik yang diterajui oleh PETRONAS, membuka jalan bagi sektor OGSE yang lebih mantap dan berdaya saing di Malaysia. – TVS