KUALA LUMPUR, 8 Julai: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan akan diambil sekiranya terdapat bukti menunjukkan ada menteri menggunakan jentera kerajaan sewaktu berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK).
Jelas Perdana Menteri, tindakan sama juga akan dikenakan terhadap agensi kerajaan yang melakukan kesalahan berkenaan.
Ini kerana kata Anwar, perkara itu telah melanggar keputusan Jemaah Menteri.
“Sebaik sahaja hari penamaan calon, menteri atau penjawat awam atau agensi (kerajaan) tidak dibenarkan untuk menggunakan jentera kerajaan dalam berkempena. Itu keputusan yang saya sudah buat.
“Kalau ada bukti langgar disiplin, kita ambil tindakan wajar (kerana) bagi saya dia (salah guna jentera kerajaan) ada kaitan dengan prinsip yang kita bawa,” katanya pada Waktu Pertanyaan – Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Anwar menjawab soalan Datuk Awang Hashim (Perikatan Nasional – Pendang) yang ingin tahu fokus kerjaan dalam usaha pencegahan rasuah, meningkatkan tatakelola dan integriti pentadbiran perkhidmatan awam serta syarikat berkaitan kerajaan selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.
Sementara itu Anwar berkata, beliau tidak mencampuri urusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) namun tindakan pencegahan rasuah yang dilaksanakan perlu disokong.
” (Oleh itu) saya menyeru SPRM agar bertindak lebih pantas dan berani. Setiap langkah diambil oleh SPRM, saya beri sokongan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan SPRM sentiasa memaklumkan mengenai usaha membanteras rasuah.
Dalam pada itu Perdana Menteri menjelaskan NACS) 2024-2028 telah dilancarkan pada 7 Mei 2024 bagi menggantikan Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023.
“Inisiatif ini diterajui oleh SPRM dengan kerjasama 19 agens dan kementerian bagi menangani isu-isu berkaitan tadbir urus, integriti dan antirasuah secara menyeluruh.
“NACS yang dibangunkan sejajar dengan United Nation Convention Against Corruption (UNCAC) yang mencadangkan agar negara anggota Pertubuhan Bangsa – Bangsa Bersatu (PBB) membangunkan strategi pembanteras rasuah masing-masing,” katanya. -TVS.