KUALA LUMPUR, 9 Julai: Malaysia akan meneroka kemungkinan untuk menyertai rangkaian Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelas Perdana Menteri, ini bagi membuka serta menggalakkan jalur perdagangan serta pelaburan negara selain memperkuat hubungan ekonomi sedia ada.
Kata Anwar ketika ini Malaysia mempunyai hubungan perdagangan dengan negara – negara yang menyertai Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan rancangan untuk sertai kumpulan ekonomi BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan).
“Kita percaya rangkaian ini akan memberi kekuatan baharu kepada negara kerana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara anggota BRICS adalah sebanyak USD26.6 trilion iaitu 26.6 peratus KDNK dunia.
“Sekiranya kita membuka jalur ini, diyakini akan memberi manfaat kepada syarikat-syarikat dan ekonomi negara kita,” katanya.
Anwar menjawab soalan Lee Chuan How (Pakatan Harapan – Ipoh Timur) yang ingin tahu dasar dan hala tuju Malaysia susulan hasrat menyertai BRICS dan bagaimana penyertaan itu akan membantu meningkatkan potensi eksport ke negara BRICS.
Sementara itu, Anwar memaklumkan, Thailand dan Indonesia juga telah memohon untuk menyertai OECD baru-baru ini.
OECD merupakan organisasi antarabangsa yang terdiri daripada 34 negara anggota bagi menggalakkan dasar-dasar yang meningkatkan kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat dunia.
Dalam pada itu Anwar memaklumkan, perbezaan polisi Malaysia dengan beberapa negara dalam isu antarabangsa tidak harus memutuskan hubungan perdagangan.
“(Sebagai contoh) kita mempunyai perbezaan besar (dengan beberapa negara) dalam isu Gaza, isu persaingan perdagangan dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
“(Menerusi) BRICS sistem (politik yang diamalkan oleh) China dan Rusia berbeza dengan Malaysia namun hubungan dagang mereka dengan kita rapat,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Dato Sri Doris Sophia Brodi (Gabungan Parti Sarawak – Sri Aman).
Anwar menambah India, Afrika Selatan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang mengamalkan sistem demokratik yang lebih dekat dengan Malaysia turut mempunyai hubungan ekonomi yang baik dengan Eropah dan Amerika Syarikat (yang) ,” katanya
Sehubungan itu Anwar berkata, Malaysia tidak perlu bimbang kerana tidak mencampuri urusan politik negara – negara berkenaan sebaliknya memperluaskan rangkaian supaya rakyat dan pelabur mendapat manfaat. -TVS.