KUCHING, 9 Julai: Dana Mudahcara Warisan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak antara medium kerajaan negeri menyokong pemain industri seni tempatan, kata Datuk Snowdan Lawan.
Timbalan Menteri Perlancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak itu berkata dana berkenaan akan memudahkan penggiat seni menganjurkan pelbagai program melibatkan industri seni kreatif sekali gus mengangkat martabat kesenian dalam kalangan pelbagai kaum di negeri ini.
Justeru itu, beliau menyeru agar individu yang memiliki bakat seni untuk tampil ke hadapan dan mengetengahkan keunikan seni budaya yang dimiliki mereka.
Snowdan meyakini kerajaan komited menyokong pemain industri seni untuk mengetengahkan bakat mereka sekali gus menjulang keunikan budaya industri seni di negeri ini peringkat yang lebih tinggi.
“Sekarang ini kita turun padang untuk berjumpa dengan pemain industri pada sesi kita panggil sesi sokongan di Samarahan, Sibu, di Miri di Bintulu Kapit Sri Aman berjumpa dengan anak-anak seni.
“Jadi saya rasa ini adalah masanya kita perlukan orang seperti Sara Entertainment dan Rusa untuk bantu mereka sebagai seorang penyanyi dan juga apa perkara yang perlu atau tidak,” katanya pada sidang media Sara Entertainment dan Rusa Music di Star On Stage di Kuching pada Selasa.
Tambahnya sokongan secara turun padang merupakan salah satu inisiatif kementeriannya untuk mendekati pemain industri di seluruh negeri.-TVS