KUCHING, 8 Julai: Usahawan Bumiputera disaran untuk terus berusaha gigih bagi memajukan perniagaan masing-masing.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG) Sarawak, Datuk Dr. Penguang Manggil berkata, golongan usahawan seharusnya bersedia menghadapi cabaran ekonomi menerusi pendekatan baharu bagi menghapuskan ketirisan diri serta kebergantungan kepada kerajaan seterusnya menjadi usahawan yang berani dan cekal.
“Bagi saya, tidak kira jika kita berkhidmat dalam sektor kerajaan mahupun swasta, saya yakin kita pasti pernah berhadapan dengan permasalahan dan pasang surut dalam kehidupan itu adalah satu lumrah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Ulang Tahun Ke-18 Konsortium Bumi Consultants dan Services (KBCS) Sendirian Berhad di sini pada petang Ahad.
Penguang dalam pada itu, turut menyeru agar para usahawan memandang positif ketika mendepani apa jua rintangan yang dihadapi.
“Pada saya, cabaran ini perlu ada kerana ia akan dapat memberi motivasi yang kita perlukan untuk kita bekerja dengan lebih gigih serta mencabar diri untuk melaksanakan tugasan di luar kebiasaan dan inilah yang anda telah lakukan,” katanya.
Selain menyambut ulang tahun ke-18 KBCS, majlis yang diadakan itu juga merupakan malam apresiasi bagi warga kerja KBCS.-TVS