KUALA LUMPUR, 8 Julai: Sepasang suami isteri yang dipercayai menjadi dalang 15 kes pecah rumah diberkas polis kelmarin.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pasangan itu ditahan pukul 8 malam bersama dua lelaki dan seorang wanita tempatan.
Jelas beliau, kesemua suspek berusia lingkungan 22 hingga 32 tahun ditahan di sekitar Lembah Klang turut mempunyai rekod jenayah.
“Sebelum itu polis menerima laporan daripada seorang pengurus sumber manusia mengenai rumahnya di Puchong, Selangor telah dipecah masuk dengan kerugian sekitar RM40,000.
“Bertindak atas maklumat, kesemua suspek berjaya ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Tambah Wan Azlan, polis turut menemui beberapa barangan seperti jam tangan dan beg tangan wanita yang dipercayai dicuri.
“Berikutan tangkapan mereka, polis percaya dapat menyelesaikan 15 kes pecah rumah di sekitar Subang Jaya,” katanya.
Kesemua suspek direman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. -TVS.