IPOH, 8 Julai: Seorang penolong pegawai perubatan terkorban selepas ambulans dinaikinya terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 330.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara dekat Tapah hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, mangsa wanita berusia 30 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah kerana tersepit di tempat duduk penumpang hadapan.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi berkata, kejadian berlaku apabila ambulans syarikat swasta dipandu lelaki berusia 41 tahun itu melanggar bahagian belakang sebuah treler.
Katanya, treler dipandu lelaki berusia 32 tahun sedang berada di lorong kiri lebuh raya untuk menuju ke arah utara.
“Ambulans itu dikatakan dalam perjalanan balik dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di Cheras, Kuala Lumpur menuju ke Ipoh selepas menghantar pesakit.
“Treler pula dalam perjalanan dari Klang, Selangor menuju ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang untuk menghantar barang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar beliau, kejadian tersebut menyebabkan pemandu ambulans mengalami kecederaan ringan dan pemandu treler tidak mengalami kecederaan.
“Pasukan bomba membantu mengeluarkan penumpang hadapan ambulans yang tersepit dan disahkan maut di tempat kejadian.
“Mayat wanita itu dihantar ke Hospital Tapah bagi urusan bedah siasat,” katanya lagi.
Tambah Mohd Naim, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah, Inspektor Mohd Faizan Ahmad@Mohammed Rizkin di talian 013-208 7919 bagi membantu siasatan.
kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – TVS