LUNDU, 8 Julai: Seorang pejalan kaki maut selepas dilanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Lavina di Lorong Biawak 10 di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian itu, identiti mangsa yang maut dikenal pasti Immanuel Heypli,29.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu, PBK II Francis Kotter berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 4.34 pagi dengan menggerakkan anggota BBP Lundu ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian terdapat seorang mangsa lelaki terperosok di bawah kenderaan jenis Nissan Grand Lavina.
“Pasukan bomba mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan menyelamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Hospital Lundu.
“Seterusnya mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.- TVS