MIRI, 8 Julai: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri menahan sebuah bot nelayan asing Vietnam dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah lebih RM1 juta dalam Operasi Khas Raja Laut.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, dalam operasi itu turut ditahan dua kru termasuk tekong warga Vietnam masing-masing berumur 41 dan 42 tahun di kedudukan 141 batu nautika barat laut Tanjung Sirik, Miri kira-kira 12 tengah malam pada Jumaat lalu.
“Vesel nelayan asing itu disyaki melakukan kesalahan kerana memasuki Zon Maritim Malaysia tanpa memaklumkan kepada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
“Kesemua kru itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurutnya, Maritim Malaysia akan terus meningkatkan kawalan dan pemantauan bagi membanteras pencerobohan nelayan asing di perairan negara terutamanya di sekitar perairan Sarawak.
“Pihak Maritim Malaysia juga tidak akan berkompromi ke atas mana-mana pihak yang melakukan kesalahan atau aktiviti jenayah di laut,” katanya.