KUALA LUMPUR, 8 Julai: Malaysia menyasarkan untuk membawa pulang dua pingat pada Kejohanan Boling Boling Remaja Dunia 2024 di Incheon, Korea Selatan.
Ketua jurulatih pasukan remaja negara, Alex Liew berkata, sasaran pingat tanpa mengira warna itu diharapkan menjelma menerusi acara berpasukan lelaki dan perempuan atau acara berpasukan campuran.
Namun Alex berkata, pasukan menyedari cabaran getir yang bakal diharungi berikutan lebih banyak negara menyertai kejohanan edisi kali ini.
“Kami baharu sahaja selesai mengadakan latihan pertama di sini dan apa yang boleh saya katakan, pemain sedang menyesuaikan diri dengan persekitaran dan gelanggang pertandingan,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Malaysia membariskan juara Kejohanan Antarabangsa Klasik 2024, Izz Naqiuddin Putera Islahuddin, pemenang pingat gangsa Kejohanan Remaja Asia, Muhammad Hariz Adlan Azman, Megat Zaqrul Haiqal Megat Zairudin dan juara Terbuka Antarabangsa Sarawak 2024, Ahmad Azriq Izamuddin.
Alex berkata, pasukan lelaki negara bakal dicabar hebat oleh tuan rumah, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Sweden yang turut membariskan pemain remaja terbaik mereka.
Sementara itu Juara Remaja Terbuka Antarabangsa Malaysia 2024, Nur Hazirah Ramli dari Sarawak akan mengetuai pasukan perempuan negara bersama Adelia Nur Irwan Syazalee, Adania Mohd Redzwan dan Anis Hannani Romzi.
“Mereka akan bersaing sengit dengan pemain boling dari Singapura, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Sweden,” katanya.
Kejohanan yang akan berlangsung di Pusat Boling Fiesta itu menawarkan pingat bagi kategori perseorangan, beregu, berpasukan, dan berpasukan campuran.
Sepanjang 32 tahun sejarah kejohanan, Malaysia berada di tempat ketiga pungutan pingat keseluruhan dengan meraih 11 emas, 14 perak dan 20 gangsa. -TVS.