KUCHING, 8 Julai: Kerjasama Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) bersama Angkatan Zaman Mangsang (AZAM) Sarawak berperanan meningkatkan penyampaian agenda pembangunan Sarawak melalui media kepada masyarakat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), Datuk Abdullah Saidol berkata, bidang tugas baharu yang diamanahkan kepada beliau bertujuan untuk mengubah cara kerja UKAS seterusnya melihat hala tuju yang jauh lebih agresif terutama membabitkan penglibatan bersama komuniti.
Perkara tersebut katanya, bertujuan untuk menyampaikan maklumat serta agenda Kerajaan Sarawak secara terperinci termasuk manfaatnya kepada semua lapisan masyarakat.
“Ia cuma bidang tugas baharu yang diberi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kepada saya untuk membantu beliau melihat keperluan pada AZAM bersama UKAS.
“Perkara tersebut akan mengubah cara kerja kita dan melihat hala tuju yang jauh lebih agresif terutama sekali penglibatan bersama komuniti dan sebagainya termasuk kementerian-kementerian lain,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Ngiling Bidai UKAS 2024 di Stars On Stage di Kuching pada Ahad.
Abdullah berkata, peranan yang dimainkan dalam bidang tugas tersebut turut memastikan tiada jurang pemahaman atau percanggahan maklumat yang disampaikan oleh pihak media melalui mana-mana platform.
Ujarnya, inisiatif tersebut untuk menyelaraskan penyampaian struktur agenda pembangunan kerajaan negeri diterima dengan baik seiring dengan keperluan rakyat.
“Dengan inisiatif dilakukan oleh UKAS akan melibatkan juga rakan-rakan media lain milik kerajaan negeri seperti TVS dan seterusnya kita akan berjumpa dengan warga media lain termasuklah RTM, Penerangan dan sebagainya.
“Saya rasa ia sangat penting kerana warga media berperanan untuk memastikan jurang pemahaman dan maklumat latar masyarakat yang disampaikan benar-benar mendakap keperluan rakyat,” jelasnya. -TVS