KULIM, 8 Julai: Dua beradik kritikal selepas termakan keropok makanan segera dipercayai dicampur racun tikus bagi memerangkap monyet di Kampung Padang Ubi, Labu Besar di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi berkata, kejadian itu disedari ibu mangsa apabila mendapati anak lelakinya berusia dua dan tiga tahun muntah dan mulut berbuih kira-kira pukul 11 pagi.
“Kira-kira pukul 11.30 pagi, ibu mangsa berusia 25 tahun bergegas membawa mereka ke Klinik Kesihatan Malau sebelum ke Hospital Kulim untuk rawatan.
“Namun, hasil pemeriksaan pegawai perubatan mendapati kedua-dua mangsa kritikal dan telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang kira-kira pukul 7.30 malam,” katanya kepada pemberita hari ini.
Ujar beliau, hasil siasatal lanjut mendapati, keropok tersebut yang mengandungi racun tikus diletakkan oleh pekebun kampung di sekeliling pagar kebun yang bertujuan bagi memerangkap monyet.
“Kedua-dua mangsa dipercayai telah mengambil satu paket keropok yang tergantung pada dawai besi.
“Mereka dipercayai telah membuka dan makan keropok itu,” katanya lagi.
Ujar beliau, kes disiasat mengikut Sesyen 284 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001. – TVS