KUCHING, 6 Julai: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) telah menyokong lebih 200 syarikat permula dan perusahaan sosial tempatan melalui pelbagai program pecutan setakat ini,
Pengerusi TEGAS, Datuk Len Talif Salleh berkata, TEGAS Digital Village berperanan untuk memperkasa syarikat pemula serta perusahaan sosial tempatan di fasa pertumbuhan mereka bagi meluas dan mengembangkan produk yang mereka ketengahkan.
Menurutnya, melalui peluang yang ada pada TEGAS, ia akan memudahkan pemindahan teknologi dan pengkomersilan serta mempercepatkan pertumbuhan syarikat pemula melalui perkongsian awam dan swasta.
“Hab inovasi digital kami di Bintulu dan Miri melibatkan usahawan muda yang masih dalam fasa awal sebelum menyalurkan mereka yang berpotensi tinggi ke Perkampungan Digital TEGAS untuk menyokong fasa pertumbuhan mereka.
“Ini juga merupakan salah satu sebab mengapa kami ditugaskan untuk menubuhkan TEGAS Digital Village yang akan memudahkan pemindahan teknologi dan pengkomersilan serta mempercepatkan pertumbuhan syarikat pemula melalui perkongsian awam-swasta,” katanya.
Beliau berucap semasa Hari Terbuka Cradle dan Hari Demo Kem Pra-Pemecut TEGAS (TPAB) 2024 di TEGAS Digital Village di Kuching Pada Sabtu.
Tambahnya, TEGAS kini berada dalam landasan yang tepat membantu hasrat kerajaan negeri dalam ekonomi digital dan pihaknya sedang giat membangunkan fasiliti baharu yang menyediakan persekitaran yang sesuai kepada para syarikat pemula.
Ujarnya, perkara tersebut sedang dalam proses melakar pelan dan ia dijangka siap pada tahun 2027 dengan menawarkan kemudahan hostel, dewan, pusat kesihatan, gym, kantin dan beberapa fasiliti lainnya. -TVS