KUCHING, 6 Julai: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menghadiri Majlis Doa Akhir Tahun 1445 Hijrah dan Awal Tahun 1446 Hijrah Peringkat Sarawak di Masjid Jamek Negeri Sarawak di Petra Jaya, malam ini.
Sekitar 1,000 umat Islam menyertai majlis itu yang dimulakan dengan bacaan doa akhir tahun 1445 Hijrah diikuti solat fardu Maghrib berjemaah.
Sejurus selepas itu, ia disambung dengan bacaan doa awal tahun 1446 Hijrah dan bacaan Yasin yang dipimpin oleh Imam Besar Sarawak, Sahibul Fadillah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.
Usai itu, majlis diteruskan dengan tazkirah Maal Hijrah dengan tema ‘Kelestarian Alam Sekitar Menurut Perspektif Islam‘ yang disampaikan oleh Mufti Sarawak, Datu Kipli Yasin.
Selepas itu Fadillah menunaikan solat fardhu Isya berjemaah sebelum menyertai majlis makan malam bersama jemaah dan tetamu yang hadir.
Turut hadir, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni
Pada esok, Abang Johari dijadual menghadiri Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah 1446H/2024M di Pusat Hikmah Exchange Kuching yang dijangka dihadiri sekitar 1,000 tetamu.
Turut dijadual hadir pada sambutan itu ialah Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.- TVS