KUCHING, 6 Julai: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan meneliti dan mencari jalan penyelesaian isu kelewatan pelaksanaan 36 projek berkaitan bekalan air di Sabah Sarawak bagi memastikan kesemua projek terbabit dapat disiapkan pada kadar segera memandang ia telah lama diluluskan oleh kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perbincangan juga akan dilakukan PETRA dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam tempoh terdekat bagi menyelesaikan isu sama yang dilaksana oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) di bawah kementerian berkenaan.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menjelaskan teguran yang diterima oleh PETRA itu daripada Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) lebih menjurus kepada kelemahan dan kelewatan dalam melaksanakan projek.
“Pelaksanaan projek ini melibatkan banyak faktor antaranya faktor di lapangan, kontraktor dan kelulusan yang melibatkan pelbagai agensi pihak berkuasa dan sebagainya.
“Jadi ini yang perlu kita perincikan dan kalau dapat kita kena libatkan keseluruhan pihak supaya kita mencari jalan untuk menyelesaikan dan memastikan projek itu dapat diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penutupan Program Bantuan My Lesen Kelas B2 Peringkat Parlimen Petra Jaya di sini pada sabtu.
Menurut LKAN sehingga Oktober 2023, terdapat 36 projek di Sarawak dan Sabah dengan kos jumlah lebih RM1.6 bilion masih dalam perancangan, walaupun telah mendapat kelulusan pada 2016, 2017 dan 2018.
Manakala, semakan audit terhadap Laporan Bajet Program dan Prestasi KKDW bagi projek terbabit mendapati, baki peruntukan projek BALB Retikulasi Sarawak pada 2017 berjumlah RM1.24 juta dan RM4.98 juta bagi projek BALB Sabah pada 2020, tidak menggambarkan jumlah baki yang sebenar pada tahun tersebut.
Jelasnya, walaupun projek berkenaan di bawah seliaan KKDW namun sebagai menteri bertanggungjawab Hal Ehwal Sabah dan Sarawak perkara itu perlu dibincangkan secara bersama dengan lebih teliti agar isu-isu yang ditegur oleh LKAN itu dapat diselesaikan. -TVS