IPOH, 6 Julai: Hasrat seorang pesara kerani sekolah di Kuala Kangsar mendapat keuntungan melalui pelaburan bukan sahaja tidak kesampaian, bahkan berputih mata apabila wang sebanyak RM241,900 lesap dipercayai selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner (ACP) Heisham Harun berkata, mangsa dikatakan tertarik menerusi tawaran skim pelaburan yang dikenali menerusi aplikasi sosial Facebook sejak April lalu.
Katanya, mangsa telah berminat dengan tawaran yang sangat menarik apabila dia dijanjikan pulangan 8,000 peratus daripada wang yang dilaburkan.
“Mangsa telah membuat 25 transaksi ke dalam 16 akaun bank berbeza sejak April hingga Jun lepas menggunakan wang simpanannya.
“Bagaimanapun dia menyedari ditipu apabila tidak pernah menerima keuntungan yang dijanjikan sejak April setelah melabur RM241,900 dan membuat laporan polis semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Heisham, polis mengingatkan orang ramai agar berhati-hati semasa melayari media sosial dan sentiasa cakna dengan trend terkini penjenayah ‘scammer’ yang sentiasa berubah bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan. – TVS