KUCHING, 6 Julai: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bakal memuktamadkan penubuhan sayap baharu melibatkan belia pada konvensyen parti tersebut yang dijadualkan berlangsung pada suku pertama tahun depan, kata Presiden PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak itu berkata, sayap baharu itu nanti akan dianggotai oleh belia yang berumur antara 18 hingga 28 tahun.
“Sekarang ini, kita tubuhkan jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dengan rakan-rakan pemimpin lain untuk menyelaraskan Mesyuarat Agong kita nanti yang bermula daripada ranting, cawangan hinggalah ke konvensyen utama yang dijadual diadakan pada awal 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kali Keenam Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak (6/15), di Ibu Pejabat PBB, Petra Jaya, di sini, hari ini.
Pada 2022, Abang Johari berkata, penubuhan sayap belia PBB merupakan langkah ke depan parti itu dalam melahirkan generasi pemimpin yang berwibawa untuk memimpin negeri ini di masa akan datang.
Katanya, sayap belia itu akan menjadi platform untuk melatih mereka yang berumur 18 tahun mengenali selok belok berpolitik secara rasional. – TVS