BALIK PULAU, 5 Julai: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menggagalkan percubaan membawa masuk kira-kira 21 kilogram (kg) sate katak ke dalam negara melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas di sini hari ini.
MAQIS Pulau Pinang dalam kenyataan berkata, rampasan itu dibuat hasil kerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggunakan mesin pengimbas dan pemeriksaan oleh pegawai MAQIS.
“21 kg sate katak yang dianggarkan bernilai RM1,500 itu dirampas hasil pemeriksaan bagasi yang dilakukan terhadap beberapa penumpang dari Myanmar.
“Ia merupakan rampasan terbesar bagi produk hasilan haiwan yang dibuat MAQIS Pulau Pinang tahun ini setakat Julai,” kata kenyataan itu hari ini.
Kenyataan tersebut menambah, tindakan mengimport keluaran hasilan haiwan tanpa permit yang sah adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum dibawah Seksyen 11(3) akta sama.
Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali. – TVS