JAKARTA, 5 Julai: Kementerian Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Masyarakat (KPWK) Sarawak akan memperkukuh kerjasama peringkat antarabangsa untuk menangani isu penyalahgunaan dadah.
Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kerjasama menerusi jawatankuasa setempat itu merupakan penyesuaian dan pendekatan baharu akan dilakukan.
Jelas Fatimah, tadbir urus bersepadu diperlukan bagi menangani isu dadah dengan kerjasama ahli berkaitan memandangkan penyalahgunaan dadah merupakan masalah sosial yang utama.
“Penyalahgunaan dadah adalah masalah sosial yang sangat besar jadi perlu memperkasakan langkah-langkah serius dan wajar untuk menanganinya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) dan Hospital Pergantungan Dadah (RSKO) sempena lawatan kerjanya ke Indonesia.
Turut mengiringi lawatan Fatimah ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus.
Sementara itu Fatimah berkata, lawatan beliau bertujuan untuk mempelajari pelbagai aspek dalam menangani isu penyalahgunaan dadah melalui amalan terbaik iaitu rawatan dan pemulihan yang berpotensi untuk diterapkan oleh Kerajaan Sarawak.
Jelas beliau statistik polis menunjukkan jumlah tangkapan berkaitan dadah di Sarawak pada tahun lepas ialah seramai 10,365.
“Oleh itu diharap menerusi jawatankuasa akan mampu mengurangkan jumlah mereka yang terlibat dengan kegiatan berkenaan,” katanya. -TVS.