KUALA LUMPUR, 5 Julai: Platform perbankan internet korporat AFFINMAX, Affin Bank Berhad berjaya memenangi Anugerah Bank Pengurusan Tunai Domestik Malaysia 2024.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, pengiktirafan itu merupakan bukti komitmen berterusan bank perdagangan itu terhadap inovasi dan kecemerlangan dalam menyediakan penyelesaian pengurusan tunai yang terbaik.
“Anugerah yang berprestij ini mengiktiraf AFFINMAX kerana peranannya yang penting dalam perkhidmatan perbankan borong.
“Platform ini menawarkan pelbagai penyelesaian komprehensif termasuk pengurusan tunai, pengurusan kecairan dan penyelesaian e-dagang seperti FX dan kiriman wang merentasi sempadan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Asian Banking And Finance Wholesale Banking Awards 2024 di Singapura.
Tambahnya, kejayaan berkenaan selari dengan visi bank itu untuk muncul sebagai syarikat kewangan paling kreatif di Malaysia seperti yang dipandu oleh tiga tonggak Pelan AFFIN Axelerate (AX28) iaitu perkhidmatan pelanggan yang tiada tandingan, kepimpinan digital dan perbankan bertanggungjawab dengan impak.
Pada November tahun lalu, bank berkenaan melancarkan aplikasi mudah alih AFFINMAX 2.0 yang memperkenalkan ciri-ciri baharu seperti modul transaksi dan MyCashier.
Sejak pelancarannya, aplikasi mudah alih itu mendapat sambutan yang luas di semua platform iaitu iOS, Android dan Huawei. -TVS.