KUCHING, 25 Jun: Penganjuran Seminar Fatwa Peringkat Sarawak 1445H/2024M bertujuan memberi penjelasan pandangan hukum dan fatwa yang telah diputuskan oleh badan pengeluar fatwa kepada masyarakat selain mengangkat kewibawaan fatwa dan mufti-mufti sebagai rujukan serta panduan yang berautoriti.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, seminar juga tersebut merupakan platfom bagi agensi fatwa negeri sebagai badan yang bertanggungjawab dalam hal ehwal kefatwaan memberikan penerangan dan menjelaskan isu hukum kepada masyarakat.
“Seminar ini juga bermatlamat untuk menjadikan masyarakat sentiasa terdidik dengan ilmu pengetahuan dalam menjalani setiap aspek kehidupan.
“Ilmu yang berpandukan sumber agama iaitu al-Quran dan sunnah dapat menyelamatkan masyarakat daripada terjerumus dalam kancah ekstremisme dan kecuaian dalam melaksanakan tuntutan agama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Fatwa Peringkat Sarawak 1445H/2024M, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Dr Zulkifli berkata, isu dan tajuk yang dibincangkan dalam seminar ini sering menjadi polemik dalam masyarakat yang mana jika ia tidak ditangani dengan ilmu, dikhuatiri boleh membawa kepada perselisihan faham yang berterusan.
“Cabaran baharu bagi institusi fatwa di Malaysia juga hadir melalui kemunculan mufti-mufti segera yang memberi fatwa di media sosial yang boleh mengelirukan masyarakat,” ujarnya.
Seminar berlangsung selama sehari itu bertemakan “Fatwa Berwibawa Membangun Peradaban Ummah” disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan turut dihadiri lebih daripada 1,000 orang peserta.