BELAGA, 17 Jun: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) hari ini menemui selipar yang digunakan oleh seorang mangsa bot karam di Long Menjawah, Belaga petang semalam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata selipar itu dijumpai timbul di jeram pada kira-kira 12 tengah hari.
Gerakan mencari dan menyelamat dua mangsa yang masih hilang terpaksa dihentikan sementara pada 2.46 petang akibat faktor cuaca.
“Keadaan arus sungai deras dan hujan lebat di kawasan pencarian yang tidak selamat untuk pasukan penyelamat melanjutkan operasi pencarian,” katanya menerusi kenyataan.
Mangsa yang hilang Balavishnu Permaloo, 36, dan Rhuban Apparoo, 30, kedua-duanya berasal dari Sungai Karangan, Padang Serai, Kedah, selepas bot yang mereka naiki bersama dua lagi rakan sekerja serta jurumudi karam kira-kira 4 petang semalam.
SAR disambung semula pada 3 petang setelah hujan reda namun terpaksa ditangguh sekali lagi pada 4.30 petang atas faktor cuaca.
SAR akan disambung semula 8.30 pagi esok.
Sebelum kejadian pekerja syarikat penyelenggaraan empangan Bakun itu menyewa sebuah bot untuk bersiar-siar namun bot terbabit karam disebabkan arus deras di Jeram Menjawah.
Jurumudi bot berusaha menyelamatkan kesemua penumpang namun dua lagi hanyut dibawa arus deras. -TVS