SRI AMAN, 15 Jun: Pembinaan Pusat Latihan Tinju di Sri Aman kini memasuki fasa menanti kelulusan daripada Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis berkata, pusat latihan itu kelak akan ditempatkan di Kompleks Sukan Sri Aman dan lokasi pembinaannya telah dikenal pasti.
“Kita telah mengenal pasti tiga ke empat ekar tanah dalam Kompleks Sukan Sri Aman dan kini sedang menanti keputusan daripada mereka dan ia melibatkan citing dan peruntukan untuk kita membina Pusat Latihan Tinju.
“Jadi, saya yakinlah dengan sokongan yang padu dari pihak MYSED yang dipimpin oleh Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, kita akan diberi laluan untuk membantu membina pusat latihan ini sebab kita telah memohon untuk dua padang bola sepak terbuka dan juga asrama wanita dan lelaki serta dewan makanan dan gelanggang tenis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Larian Baton Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA Sarawak 2024 Bahagian Sri Aman di Waterfront Sri Aman hari ini.
Turut hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA Sarawak 2024 merangkap Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dolhadi Marzuki serta Pemangku Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh.
Apabila siap kelak, beliau berharap persatuan-persatuan sukan di sini akan menggunakan fasiliti dengan sebaik mungkin yang dilihat dapat meningkatkan mutu permainan serta mengilap bakat atlet dan pemain untuk mewakili Sarawak mahupun Malaysia berentap pada acara yang sukan yang dipertandingkan.
Ditanya mengenai perkembangan venue SUKMA Sarawak bagi acara sukan Tinju di Stadium Tertutup Simanggang, Francis berkata, kerja naik taraf itu telah memasuki fasa terakhir dengan kini tertumpu kepada menaik taraf tandas dan landskap stadium terbabit.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Abdul Karim kerana memberi peruntukkan untuk menaik taraf stadium terbabit,” katanya tanpa menyebut jumlah peruntukan menaik taraf stadium itu.
Bahagian Sri Aman akan menjadi tuan rumah bagi satu acara sukan bagi sukan tinju yang akan berlangsung pada 16 hingga 23 Ogos depan. – TVS