LIMBANG, 15 Jun: Kerajaan mengambil berat terhadap kebajikan bekas anggota keselamatan terutama pesara polis berikutan golongan itu berjasa dalam memelihara ketenteraman awam dan keselamatan negara.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Abdul Rahman Ismail berkata pelbagai bantuan disediakan kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri bagi membantu dan melindung kebajikan mereka selepas bersara.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota menambah pelbagai persatuan ditubuhkan di negara ini termasuk di Sarawak dalam memperjuangkan dan menjaga kebajikan ahli-ahli anggota keselamatan yang sudah bersara.
“Saya percaya persatuan yang ditubuhkan akan terus memperjuangkan kebajikan anggota keselamatan termasuk bekas polis.
“Kerajaan akan membantu dan sebenarnya dari segi kebajikan kita boleh memohon bantuan daripada pelbgaai pihak termasuk dari Jabatan Kebajikan Masyarakat seperti bantuan Kenyalang Gold Card,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Cawangan Limbang di Dewan Bunga Raya hari ini.
Turut hadir Pengerusi PBPM Negeri Sarawak Superintendan (B) Han Hipeni, Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Parum Niot dan Ketua Cawangan PBPM Daerah Limbang Roslan Kimin. – TVS