KUCHING, 12 Jun: Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan perdagangan karbon dijangka dibentangkan dalam Dewan Rakyat menjelang hujung tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penggubalan undang-undang tersebut berikutan kerajaan Sarawak mendahului dengan meluluskan RUU berkaitan karbon di Dewan Undangan Negeri Sarawak.
“Insya-Allah menjelang akhir tahun ini, Rang Undang-Undang (RUU) tersebut akan dibentang di Dewan Rakyat,” katanya ketika mengulas cadangan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg baru-baru ini agar kerajaan pusat menambah baik perundangan sedia ada berhubung perniagaan tenaga, termasuk perkara berkaitan perdagangan karbon.
Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Penutupan Persidangan dan Pameran Hidrogen Hijau Asia Pasifik 2024 (APGH 2024), di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Fadillah berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan beliau mempengerusikan mesyuarat berkaitan penggubalan RUU itu.
RUU tersebut dijangka turut merangkumi skim cukai dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan perdagangan karbon, jelasnya. – TVS