KUCHING, 10 Jun: Kerajaan Jepun melalui Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (METI) menyatakan hasrat untuk membantu Kerajaan Sarawak ke arah menjayakan industri hidrogen hijau di rantau ini.
Ketua Pengarah Jabatan Kecekapan Tenaga dan Tenaga Boleh Diperbaharui METI, Inoue Hiroo berkata perkara itu dapat direalisasikan menerusi pengukuhan kerjasama antara Jepun dan Sarawak khususnya dalam pengurusan hidrogen dan ammonia.
“Kita telah berbincang mengenai projek baharu iaitu Hornbill yang merupakan projek di bawah kendalian SEDC dengan dua syarikat Jepun iaitu Sumitomo dan Eneos.
“Kini mereka dalam peringkat perancangan untuk menghasilkan hidrogen hijau, memanfaatkan sepenuhnya kuasa hidro yang terdapat di Sarawak, menukarkannya kepada MCH (Methylcyclohexane) sebelum dieksport ke Jepun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata projek tersebut kini dalam peringkat perancangan. Beliau turut mendedahkan bahawa Kerajaan Jepun telah meluluskan undang-undang bagi menyokong aktiviti yang melibatkan hidrogen dan bahan api fosil.
“Projek ini merupakan satu perkara menarik dari perspektif Kerajaan Jepun, justeru saya berbincang dengan Premier Sarawak mengenai sebarang kebarangkalian dan juga keadaan yang perlu diatasi pada masa akan datang.
“Sekiranya projek tersebut memenuhi kriteria yang digariskan, Kerajaan Jepun akan memberi sokongan penuh terhadap pelaksanaannya,” ujarnya lanjut.
Terdahulu, Abang Johari menerima kunjungan hormat daripada Duta Republik Korea ke Malaysia, Yeo Seung-Bae yang berhasrat untuk memperkukuh kerjasama dengan Sarawak menerusi sektor tenaga boleh diperbaharui khususnya hidrogen hijau. – TVS