KUCHING, 9 Jun: Sebuah keluarga berdepan detik cemas selepas kereta dinaiki kemalangan kendiri lalu terbakar berhadapan dengan Medan Hamidah, Jalan Bako di sini, tengah malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 12.42 tengah malam dengan menggerakkan 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya ke lokasi kejadian.
“Kereta dinaiki sebuah keluarga terdiri daripada sepasang suami isteri dan dua anak perempuan terlibat dalam kemalangan kendiri.
“Bagaimanapun, kesemua mangsa telah berjaya keluar sebelum kereta tersebut terbakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak bomba menggunakan dua aliran salur bantu mula bagi memadam kebakaran dan kenderaan tersebut telah terbakar keseluruhan.
“Isteri serta kedua-dua kanak-kanak yang cedera dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.Operasi pemadaman kebakaran kereta tamat jam 1.15 pagi,” ujarnya. – TVS