BANGKOK, 8 Jun: Jaguh Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar gagal melebarkan rekod kemenangannya di One Championship kepada 6-0 selepas tewas bermaruah kepada juara WMF Muay Thai lima kali dari Vietnam, Nguyen Tran Duy Nhat dalam pertarungan ONE 167 di Impact Arena, Bangkok, Thailand pagi tadi.
Bintang muda yang mewakili Rentap Muay Thai Gym itu tewas menerusi keputusan pengadil kepada lawan berusia 34 tahun itu.
Kekalahan ini menjadi kekalahan pertama Jojo dalam siri pertarungan ONE Fight ekoran beliau sebelum ini memegang rekod 5-0.
Empat daripada rekod kemenangan itu dimenangi oleh Jojo secara knockout.
Biar pun tewas, Johan berjaya menampilkan aksi garang dan menghiburkan sepanjang pertarungan tiga pusingan Flyweight itu.
Sementara itu, Tran Duy, 35, menang menerusi keputusan sebulat suara hakim.
Dia yang mewakili Hochiminh City Muay Team dilihat lebih berbahaya dengan lebih banyak mendaratkan tumbukan dan melepaskan tendangan ke arah Jojo.
Untuk rekod, pada Oktober tahun lalu, Johan atau dikenali sebagai Jojo mencipta sejarah apabila menjadi atlet tempur termuda memperoleh kontrak bernilai AS$100,000 (RM463,300) dengan ONE Championship. – TVS